Monday 28 March 2016

KEMUSYKILAN AURAT DAN BERSALAMAN DENGAN IPAR DAN MERTUA

Tags



Soalan:
Bertudung belum dikira menutup aurat? Bagaimana dikira menutup aurat?

Jawapan:
Dalam Al Quran surah Al Ahzab ayat 59 menjelaskan bahawa pakaian taqwa seorang wanita adalah melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Jadi jika hanya sekedar menutup bahagian kepala sedangkan bahagian bawah dagu, dada, betis, kaki dan sebagainya terdedah bagi memperlihatkan perhiasan mereka, maka hukumnya tetap haram dan berdosa. Memakai tudung dengan mendedahkan aurat lain seperti menampakan susuk badan dan seluar ketat atau sebagainya dengan alasan mengikut fesyen juga dikira tidak menutup aurat dan bukan pakaian takwa yang diperintahkan oleh syarak.

Batasan aurat wanita ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tangan (hingga pergelangannya). Inilah pandangan jumhur ulamak dan menjadi amalan kebanyakan wanita Islam hari ini. Namun keharusan mendedahkan muka dan dua tangan itu terikat dengan suasana aman dari fitnah. Dalam keadaan fitnah, keseluruhan badan wanita adalah aurat dan wajib ditutup tanpa ada sebarang bahagian yang dikecualikan.


Soalan:
Bila aurat bermula bagi perempuan dan hukumnya?

Jawapan:
Aurat wanita bermula bila sudah baligh iaitu mula datang haid. Hukum menutup aurat adalah WAJIB.


Soalan :
Apakah yang dimaksudkan dengan MUHRIM dan MAHRAM?

Jawapan:
Ramai orang silap memahami penggunaan perkataan antara muhrim dan mahram. Kadang-kadang mereka mahu menyebut mahram tetapi mereka tersebut perkataan muhrim.

Muhrim adalah perkataan Arab. Ia membawa maksud orang yang sedang melakukan ihram haji ataupun umrah. Orang ini dilarang melakukan beberapa perkara sepanjang menunaikan kedua-dua ibadat ini sebagaimana yang banyak didperkatakan di dalam kitab-kitab feqah.

Mahram pula bermaksud orang yang haram berkahwin dengan kita. Mahram seorang wanita yang haram dikahwininya buat selamanya sama ada kerana keturunan, perkahwinan atau susuan merangkumi:

1. Bapa kandung
2. Bapa mertua
3. Bapa susuan
4. Anak kandung
5. Anak tiri (yakni anak suami)
6. Anak susuan
7. Saudara lelaki kandung
8. Saudara lelaki susuan
9. Anak saudara lelaki
10. Bapa saudara

Batasan aurat badan wanita yang harus dilihat oleh mahram hanyalah tempat-tempat beradanya perhiasan bathin (dalaman) seperti telinga, rambut, leher, lengan dan betis. Adapun selainnya seperti paha, perut, kemaluan dan punggung, maka tidak harus didedah dan diperlihatkan sekalipun kepada mahram.

Soalan:
Apa maksud lelaki ajnabi? Apakah batasan aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi?

Jawapan:
Lelaki ajnabi bermaksud lelaki-lelaki asing, iaitu yang bukan suaminya dan juga bukan mahramnya. Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tangan (hingga pergelangannya). Inilah pandangan jumhur ulamak dan menjadi amalan kebanyakan wanita Islam hari ini. Namun keharusan mendedahkan muka dan dua tangan itu terikat dengan suasana aman dari fitnah. Dalam keadaan fitnah, keseluruhan badan wanita adalah aurat dan wajib ditutup tanpa ada sebarang bahagian yang dikecualikan.

Soalan:
Bagaimanakah aurat diantara abang ipar dan adik ipar lelaki?

Jawapan:
Hubungan abang ipar dengan adik ipar lelaki hendaklah dijaga sesuai dengan tuntutan Islam, kerana hubungan keduanya tidak boleh kahwin hanya bersifat sementara. Jika abang ipar tersebut bercerai dengan isterinya maka ia boleh kahwin dengan adik iparnya tersebut. Jadi jelaslah keduanya bukan muhrim dan perlu menjaga batas-batas aurat yang telah ditetapkan dalam ajaran Islam.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada disebutkan; dari Uqbah bin Amir katanya; Rasulullah SAW sesungguhnya telah bersabda: "Jauhilah olehmu sekalian masuk ke tempat para wanita". Lalu seorang sahabat Anshar bertanya: "Bagaimana pendapat baginda tentang ipar?'. Rasulullah SAW menjawab: "Ipar itu maut". (Riwayat Nasai)

Dengan hadis ini jelaslah bahawa hubungan antara ipar ini perlu dijaga dengan sebaik-baiknya agar tidak melebihi batas-batas yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW, kerana maut yang diungkapkan Rasulullah dalam hadisnya tersebut merupakan fitnah yang sangat besar, jika kita mengabaikannya.

Soalan:
Jadi bolehkah saya bersalaman dengan abang ipar atau adik ipar lelaki?

Jawapan:
Ipar adalah hubungan kekeluargaan yang sifatnya sementara, oleh sebab itu kita tidak boleh sesuka hati untuk bersalaman dengan mereka.

Dalam Mazhab Asy-Syafi'i bersalam dengan orang-orang yang dinyatakan adalah tidak harus sama sekali, kerana ia boleh mendatangkan fitnah. Perbuatan ini hendaklah dielakkan. Pintu fitnah hendaklah ditutup awal-awal lagi.

Dalam mazhab Maliki bersalam dengan orang-orang ini tidaklah membatalkan air sembahyang selagi mana tidak menimbulkan syahwat, namun hukumnya juga tidak digalakkan.

Al-Qardawi menjelaskan dalam fatwanya berjodol Fatwa-fatwa Semasa jika pihak terlibat terlebih dahulu menghulurkan tangannya kepada saudara, menjadi harus kepada saudara menyambut tangannya dan seterusnya bersalam dengannya. Khususnya apabila mereka ini datang menziarahi saudara setelah lama tidak bersua muka.

Walaupun begitu majoriti ulama' tidak mengharuskan seseorang bersalam dengan orang-orang yang dinyatakan bagi mengelakkan berlakunya fitnah, apalagi di zaman kita ini. Berpeganglah kepada pandangan mazhab anda.

Soalan:
Bagaimana aurat menantu perempuan terhadap ayah mertuanya?

Jawapan:
Kedudukan ibu dan ayah mertua itu sama dengan ibu dan ayah sendiri. Boleh memperlihatkan aurat kita kepada ayah mertua sepertimana kita memperlihatkan aurat kita kepada ayah kandung. Untuk lebih jelas sila rujuk surah An Nur ayat 31.

Soalan:
Adakah batal air sembahyang jika menantu perempuan bersentuhan dengan ayah mertua atau abang ipar/ adik ipar lelakinya?

Jawapan:
Air wuduk perempuan akan terbatal apabila ia bersentuhan dengan adik iparnya lelakinya, kerana ia halal berkahwin dengan adik iparnya itu. Pengharaman berkahwin dengan adik iparnya itu sekadar untuk sementara sahaja, iaitu selagi mana ia masih berkahwin dengan suaminya. Jika sudah berlaku perceraian atau kematian kepada suami, di kala itu halal kepada perempuan terlibat berkahwin dengan iparnya. Justeru itu kedudukan air wuduknya adalah batal apabila berlaku persentuhan dengan iparnya.

Bagaimanapun bersalaman dengan ayah mertua tidak membatalkan air wuduk kerana ayah mertua haram dikahwini oleh menantu perempuan buat selamanya.

Soalan:
Bagaimana aurat perempuan dengan ayah saudara dan bolehkan bersalaman?

Jawapan:
Jika ayah saudara adalah adik beradik kepada kedua ibu bapa maka boleh bersalaman dan boleh memperlihatkan aurat kita kepada mereka sepertimana aurat kepada ibubapa.

Namun sekiranya ayah saudara adalah suami kepada ibu saudara kandung (iaitu ipar kepada ibu/ayah kita), maka harus menutup aurat seperti aurat kepada lelaki ajnabi. Dengan erti kata lain kita tidak mempunyai pertalian darah dengan ayah saudara tersebut. Tidak boleh bersalaman dengan mereka.

Soalan:
Bagaimana aurat perempuan dengan sepupu lelaki dan batalkan air sembahyang apabila tersentuh dengannya?

Jawapan:
Dari segi kedudukan sepupu dalam Islam membolehkan keduanya untuk berkahwin atau bernikah. Jika kedudukannya menghalalkan perkahwinan maka batal wuduk jika bersentuh dan aurat haruslah dijaga seperti aurat kita terhadap lelaki-lelaki ajnabi.

Soalan:
Bagaimana aurat perempuan dengan anak saudara lelaki?

Jawapan:
Sekiranya anak saudara adalah anak kepada adik beradik anda sendiri, boleh memperlihatkan aurat mereka seperti memperlihatkan aurat kepada ayah dan ibu.

Sekiranya anak saudara adalah anak kepada ipar duai maka aurat haruslah dijaga seperti aurat kita kepada lelaki-lelaki ajnabi.

Namun perempuan diberi kelonggaran untuk memperlihatkan perhiasan khafiynya sekiranya anak saudara tersebut masih Kanak-kanak dan belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.

*Bagi memudahkan pemahaman tentang aurat dan dengan siapa boleh bersalaman, sila rujuk carta yang diberikan.

Kotak kuning bermaksud tidak boleh bersalaman dan wajib menutup aurat dengan mereka.
Kotak putih bermaksud boleh bersalaman dan aurat boleh diperlihatkan sepertimana kita memperlihatkan aurat kepada ibu dan bapa kita.

~Jazakallahu Khoir~

p/s : Harap ipar duai faham kenapa saya menolak untuk bersalaman ketika bertemu kalian sebelum dan selepas ini. Hormat dan sayang saya pada kalian tidak pernah hilang, cuma takutnya saya kepada Allah s.w.t