Friday 19 August 2016

Doa Di Permudahkan Untuk Membayar Hutang



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

***Menurut sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh al- Tabrani dengan sanad yang jayyid dlm Bab Doa, Saidina Muaz r.a.pernah mengadu kepada Nabi SAW. tentang hutangnya kepada seorang Yahudi. Nabi SAW. lantas mengajarnya membaca ayat 26-27 Surah Ali-Imran untuk melunaskan hutang-hutangnya yang ditanggung.***

Firman Allah SWT maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

"Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya".
(Surah Ali-Imran ayat 26-27)
***Dua ayat di atas hendaklah di amalkan membacanya sebelum tidur. Mudah-mudahan mendapat jalan untuk menyelesaikan bebanan hutang. (Al Durrul Manthur, tafsir ayat 26-27, surah Ali-Imran)

Sahabat-sahabat yang dimuliakan,
Amalan yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada sahabatnya untuk menyelesaikan hutang adalah dengan mengamalkan doa ini setiap pagi dan petang semoga Allah SWT memberi kekuatan jasmani dan rohani dan terhindar daripada kejahatan orang lain kepada kita termasuk dijauhi daripada masaalah hutang-hutang yang membebankan kehidupan.

Doanya adalah seperti berikut :
"Allahumma Inni A'uzubika minal Hammi wal Hazan, Wa A'uzubika minal A'zji wal Kasal, Wa A'uzubika minal Jubni wal Bukhli, Wa A'uzubika min Ghalabatiddaini wa Qahrir Rijaal."

Maksudnya : "Ya Allah, lindungi kami dari perasaan ketakutan dan kesedihan, jauhi kami dari sikap lemah dan malas, lindungi kami dari sifat penakut dan kedekut, bebaskan kami dari bebanan hutang dan penindasan orang"..

(Dari Abu Said al Khudri berkata; Suatu hari Rasulullah SAW bersabda, " Bila kamu membaca apa yang aku ajarkan, nescaya Allah hilangkan rasau risau dari dirimu dan melunaskan hutang-hutangmu..Ketika pagi dan petang, ucapkanlah Allahumma Inni A'uzubika minal Hammi wal Hazan, Wa A'uzubika minal A'zji wal Kasal, Wa A'uzubika minal Jubni wal Bukhli, Wa A'uzubika min Ghalabatiddaini wa Qahrir Rijaal...." (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Sahabat yang dikasihi, marilah kita menjauhkan diri daripada berhutang walaupun hutang yang berjadual kerana risiko hutang ini amat berat jika tidak ditunaikan mengikut perjanjiannya. Gunakanlah sebanyak mungkin membeli secara tunai kerana murah, mudah dan tidak membebankan. Janganlah membebankan diri dengan membeli barang-barang yang  kurang bermanfaat  seperti perabut mahal dan peralatan rumah yang cangih-cangih dengan berhutang. Berpadalah dengan apa yang ada dan jadikanlah diri kita hamba Allah yang sentiasa bersyukur dan bersifat qanaah.

Jika kita masih memiliki hutang-hutang yang belum habis dilunaskan maka berusahalah bersungguh-sungguh untuk membayarnya dengan kadar segera disamping itu amalkan dua doa yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita semua untuk di amalkan insya Allah akan memudahkan untuk melangsaikan hutang-hutang kita.